Powered By Blogger

Saturday, 14 June 2014

Sepanyol Hadapi Krisis Identiti

SALVADOR, Brazil - Juara bertahan, Sepanyol menerima kecaman hebat selepas mencatatkan kekalahan besar 1-5 kepada Belanda pada aksi pertama Kumpulan B kempen Piala Dunia 2014 di Stadium Arena Fonte Nova, Salvador awal pagi semalam.

Kekalahan yang mengaibkan itu mencetuskan tanda tanya mengenai prestasi skuad La Roja yang mendominasi acara bola sepak dunia sejak tahun 2008.

Sesetengah pengkritik menganggap Sepanyol sudah tidak mampu untuk mengekalkan falsafahnya iaitu bermain secara Tiki Taka yang lebih banyak menampilkan hantaran bola pendek.

Kekalahan pada aksi pertama ini juga mengulangi skrip yang sama Sepanyol selepas tewas 0-1 kepada Switzerland pada aksi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Bagaimanapun, kekalahan kepada Belanda memberikan kesan yang mendalam kepada skuad bimbingan Vicente del Bosque.

Sepanyol hanya memiliki masa lima hari untuk menghadapi perlawanan kedua menentang Chile, sekali gus mencerahkan misi untuk layak ke peringkat seterusnya.

"Kebiasaannya, jika anda menewaskan Sepanyol 1-0, itu adalah perkara normal.

"Namun, 5-1 bukanlah satu keputusan normal kerana Sepanyol memiliki pemain-pemain yang hebat, jurulatih yang bagus serta satu pasukan penuh pengalaman," kata pemain pertahanan Belanda, Bruno Martins Indi.

Dalam aksi itu, posisi tengah skuad La Roja yang dibarisi Andres Iniesta, Xavi Hernandez dan David Silva gagal menyinar dan tidak berfungsi terutamanya pada babak separuh masa kedua.

Kesilapan penjaga gol, Iker Casillas menyebabkan gawang Sepanyol dibolosi, manakala tiada persefahaman antara Gerard Pique dan Sergio Ramos yang kerap melakukan kesilapan.

Begitupun, Sepanyol yang turut memenangi Kejuaraan Eropah (Euro) 2012 tekad untuk bangkit daripada kekalahan itu dalam misi mengekalkan trofi Piala Dunia 2014.

"Kami pernah memiliki satu pasukan yang menjadikan Sepanyol sebagai juara dunia dan dua kali juara Euro.

"Itulah perkara yang kami perlu kekalkan. Kami tidak boleh menyalahkan sesiapa tetapi kami perlu belajar daripada kekalahan itu," kata penyerang, Fernando Torres. - AP

Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment