Powered By Blogger

Saturday 14 June 2014

Peluang Messi Melakar Sejarah

RIO DE JANEIRO - Lionel Messi berkesempatan untuk membina legasinya sendiri apabila Argentina dijadual turun menentang Bosnia Herzegovina pada perlawanan pembukaan Kumpulan F, esok.

Trofi, pujian dan penghormatan individu sudahpun dikecapi pemain berusia 26 tahun itu bersama kelabnya Barcelona, namun dia terlalu dahagakan kejuaraan peringkat antarabangsa.

Walaupun, dia merupakan watak utama memenangi pingat emas Sukan Olimpik di Beijing pada 2008 namun, kejayaan di Piala Dunia dan Copa Amerika adalah bukti keupayaannya sebagai pemain terbaik dunia.

Pemenang empat kali Ballon d'Or dan tiga kejuaraan Eropah bersama Barcelona, keunggulannya tidak perlu diragukan namun, tanpa kejayaan peringkat antarabangsa bersama Argentina pastinya menghantui kerjayanya.

Dengan pengalamannya pada Piala Dunia 2006 dan 2010 yang gagal memberikannya kejayaan, 2014 mungkin masa terbaik untuk Messi.

Berusia 18 tahun ketika Piala Dunia 2006, Messi berjaya menjaringkan satu gol ketika menentang Serbia dan Montenegro manakala pada 2010, formasi yang diterapkan oleh Diego Maradona dilihat terlalu membebankannya sehingga beliau gagal memberikan impak.

Sekarang ini, beliau diberi sepenuh kebebasan oleh jurulatih, Alejandro Sabella yang cuba membentuk formasi terbaik untuk Messi 'berkarya' ketika di padang.

Selepas gagal membentuk sistem seperti Barcelona, Sabella meminta Messi untuk memainkan peranan di jentera serangan bahagian kanan dan meletakkan dua lagi penyerang, Gonzalo Higuain dan Sergio Aguero.

Kehadiran Angel di Maria yang berada di bahagian tengah dan mempunyai kemampuan untuk menggerakkan jentera hadapan, ia mungkin satu kelebihan kerana pertahanan pasukan lawan tidak boleh menumpukan perhatian kepada Messi sahaja.

"Saya tidak fikir pasukan ini hanya bergantung kepada saya sahaja. Ia tidak tepat. Kami mempunyai sekumpulan pemain yang hebat.

"Mereka akan memberikan yang terbaik dan mencapai matlamat untuk menjulang kejuaraan, itu objektif utama kami," ujar Messi. - AFP



No comments:

Post a Comment