Selama hampir sembilan tahun menetap di
Mekah dan membantu ayah saya menguruskan jemaah haji dan umrah, saya
telah melalui pelbagai pengalaman menarik dan pelik. Bagaimanapun, dalam
banyak-banyak peristiwa itu, ada satu kejadian yang pasti tidak akan
saya lupakan sampai bila-bila.
Ianya berlaku kepada seorang wanita yang berusia di pertengahan
30-an.Kejadian itu berlaku pada pertengahan 1980-an semasa saya
menguruskan satu rombongan haji. Ketika itu umur saya 20 tahun dan masih
menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Kebetulan ketika itu saya
balik ke Mekah sekejap untuk menghabiskan cuti semester.
Saya menetap di Mekah mulai 1981 selepas
menamatkan pengajian di Sekolah Agama Gunung Semanggol, Perak. Keluarga
saya memang semuanya di Mekah, cuma saya seorang saja tinggal dengan
nenek saya di Perak. Walaupun masih muda, saya ditugaskan oleh bapa
saya, Haji Nasron untuk menguruskan jemaah haji dan umrah memandangkan
saya adalah anak sulung dalam keluarga.
Berbalik kepada cerita tadi, ketibaan wanita tersebut dan rombongan haji
di Lapangan Terbang Jeddah kami sambut dengan sebuah bas. Semuanya
nampak riang sebab itulah kali pertama mereka mengerjakan haji. Sebaik
sampai, saya membawa mereka menaiki bas dan dari situ, kami menuju ke
Madinah. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar hinggalah kami sampai
di Madinah. Tiba di Madinah, semua orang turun dari bas berkenaan.
Turunlah mereka seorang demi seorang sehingga tiba kepada giliran wanita
terbabit.
Tapi tanpa apa-apa sebab, sebaik sahaja kakinya mencecahkan bumi
Madinah, tiba-tiba wanita itu tumbang tidak sedarkan diri. Sebagai orang
yang dipertanggungjawabkan mengurus jemaah itu, saya pun bergegas
menuju ke arah wanita berkenaan. “Kakak ni sakit,” kata saya pada
jemaah-jemaah yang lain. Suasana yang tadinya tenang serta merta
bertukar menjadi cemas. Semua jemaah nampak panik dengan apa yang sedang
berlaku.
“Badan dia panas dan menggigil. Kakak ni tak sedarkan diri, cepat tolong
saya…kita bawa dia ke hospital,” kata saya.Tanpa membuang masa, kami
mengangkat wanita tersebut dan membawanya ke hospital Madinah yang
terletak tidak jauh dari situ. Sementara itu, jemaah yang lain dihantar
ke tempat penginapan masing-masing.
Sampai di hospital Madinah, wanita itu masih belum sedarkan diri.
Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh doktor untuk memulihkannya, namun
semuanya gagal. Sehinggalah ke petang, wanita itu masih lagi koma.
Sementara itu, tugas mengendalikan jemaah perlu saya teruskan. Saya
terpaksa meninggalkan wanita tersebut terlantar di hospital berkenaan.
Namun dalam kesibukan menguruskan jemaah, saya menghubungi hospital
Madinah untuk mengetahui perkembangan wanita tersebut.
Bagaimanapun, saya diberitahu dia masih tidak sedarkan diri. Selepas dua
hari, wanita itu masih juga tidak sedarkan diri. Saya makin cemas,
maklumlah, itu adalah pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi
seperti itu. Memandangkan usaha untuk memulihkannya semuanya gagal, maka
wanita itu dihantar ke Hospital Abdul Aziz Jeddah untuk mendapatkan
rawatan lanjut sebab pada masa itu hospital di Jeddah lebih lengkap
kemudahannya berbanding hospital madinah. Namun usaha untuk
memulihkannya masih tidak berhasil. Jadual haji mesti diteruskan. Kami
bertolak pula ke Mekah untuk mengerjakan ibadat haji.. Selesai haji,
sekali lagi saya pergi ke Jeddah. Malangnya, bila sampai di Hospital
King Abdul Aziz, saya diberitahu oleh doktor bahawa wanita tersebut
masih koma. Bagaimanapun, kata doktor, keadaannya stabil. Melihat
keadaannya itu, saya ambil keputusan untuk menunggunya di hospital.
Selepas dua hari menunggu, akhirnya wanita itu membuka matanya. Dari
sudut matanya yang terbuka sedikit itu, dia memandang ke arah saya. Tapi
sebaik saja terpandang wajah saya, wanita tersebut terus memeluk saya
dengan erat sambil menangis teresak- esak. Sudah tentu saya terkejut
sebab saya ni bukan muhrimnya. Tambahan pula kenapa saja dia tiba-tiba
menangis??
Saya bertanya kepada wanita tersebut, “Kenapa kakak menangis?” “Mazlan..
kakak taubat dah Lan. Kakak menyesal, kakak takkan buat lagi
benda-benda yang tak baik. Kakak bertaubat, betul-betul taubat.”
“Kenapa pulak ni kak tiba-tiba saja nak bertaubat?” tanya saya masih
terpinga-pinga. Wanita itu terus menangis teresak-esak tanpa menjawab
pertanyaan saya itu. Seketika kemudian dia bersuara , menceritakan
kepada saya mengapa dia berkelakuan demikian, cerita yang bagi saya
perlu diambil iktibar oleh kita semua. Katanya, “Mazlan, kakak ni sudah
berumah tangga, kahwin dengan lelaki orang putih. Tapi kakak silap.
Kakak ini cuma Islam pada nama dan keturunan saja. Ibadat satu apa pun
kakak tak buat. Kakak tak sembahyang, tak puasa, semua amalan ibadat
kakak dan suami kakak tak buat. Rumah kakak penuh dengan botol arak.
Suami kakak tu kakak sepak terajang, kakak pukul-pukul saja,” katanya
tersedu-sedan.
“Habis yang kakak pergi haji ini?” “Yalah…kakak tengok orang lain pergi
haji, kakak pun teringin juga nak pergi.” “Jadi apa sebab yang kakak
menangis sampai macam ni sekali. Ada sesuatu ke yang kakak alami semasa
sakit?” tanya saya lagi.
Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu menceritakan, “Mazlan…Allah itu
Maha Besar, Maha Agung, Maha Kaya. Semasa koma tu, kakak telah di azab
dengan seksaan yang benar-benar pedih atas segala kesilapan yang telah
kakak buat selama ini. “Betul ke kak?” tanya saya, terkejut.
“Betul Mazlan. Semasa koma itu kakak telah ditunjukkan oleh Allah
tentang balasan yang Allah beri kepada kakak. Balasan azab Lan, bukan
balasan syurga. Kakak rasa seperti di azab di neraka. Kakak ni seumur
hidup tak pernah pakai tudung. Sebagai balasan, rambut kakak ditarik
dengan bara api. Sakitnya tak boleh nak kakak ceritakan macam mana
pedihnya. Menjerit-jerit kakak minta ampun minta maaf kepada Allah.”
“Bukan itu saja, buah dada kakak pula diikat dan disepit dengan penyepit
yang dibuat daripada bara api, kemudian ditarik ke sana-sini… putus,
jatuh ke dalam api neraka. Buah dada kakak rentung terbakar, panasnya
bukan main. Kakak menjerit, menangis kesakitan.. Kakak masukkan tangan
ke dalam api itu dan kakak ambil buah dada tu balik.” tanpa mempedulikan
pesakit lain dan jururawat memerhatikannya wanita itu terus bercerita.
Menurutnya lagi, setiap hari dia diseksa, tanpa henti, 24 jam sehari.
Dia tidak diberi peluang langsung untuk berehat atau dilepaskan daripada
hukuman sepanjang masa koma itu dilaluinya dengan azab yang amat pedih.
Dengan suara tersekat-sekat, dengan air mata yang makin banyak
bercucuran, wanita itu meneruskan ceritanya, “Hari-hari kakak diseksa.
Bila rambut kakak ditarik dengan bara api, sakitnya terasa seperti nak
tercabut kulit kepala.. Panasnya pula menyebabkan otak kakak terasa
seperti menggelegak. Azab itu cukup pedih…pedih yang amat sangat…tak
boleh nak diceritakan. ” sambil bercerita, wanita itu terus meraung,
menangis teresak-esak. Nyata dia betul-betul menyesal dengan
kesilapannya dahulu.
Saya pula terpegun, kaget dan menggigil mendengar ceritanya. Begitu
sekali balasan Allah kepada umatnya yang ingkar. “Mazlan… kakak ni nama
saja Islam, tapi kakak minum arak, kakak main judi dan segala macam dosa
besar.
Kerana kakak suka makan dan minum apa yang diharamkan Allah, semasa
tidaksedarkan diri itu kakak telah diberi makan buah-buahan yang berduri
tajam. Tak ada isi pada buah itu melainkan duri-duri saja. tapi kakak
perlu makan buah-buah itu sebab kakak betul-betul lapar. “Bila ditelan
saja buah-buah itu, duri-durinya menikam kerongkong kakak dan bila
sampai ke perut, ia menikam pula perut kakak.
Sedangkan jari yang tercucuk jarum pun terasa sakitnya, inikan pula
duri-duri besar menyucuk kerongkong dan perut kita. Habis saja buah-buah
itu kakak makan, kakak diberi pula makan bara-bara api. Bila kakak
masukkan saja bara api itu ke dalam mulut, seluruh badan kakak rasa
seperti terbakar hangus.
Panasnya cuma Allah saja yang tahu. Api yang ada di dunia ini tidak akan
sama dengan kepanasannya. Selepas habis bara api, kakak minta minuman,
tapi…kakak dihidangkan pula dengan minuman yang dibuat dari nanah.
Baunya cukup busuk. Tapi kakak terpaksa minum sebab kakak sangat dahaga.
Semua terpaksa kakak lalui… azabnya tak pernah rasa, tak pernah kakak
alami sepanjang kakak hidup di dunia ini.”
Saya terus mendengar cerita wanita itu dengan tekun.. Terasa sungguh
kebesaran Allah. “Masa di azab itu, kakak merayu mohon kepada Allah
supaya berilah kakak nyawa sekali lagi, berilah kakak peluang untuk
hidup sekali lagi. Tak berhenti-henti kakak memohon. Kakak kata kakak
akan buktikan bahawa kakak tak akan ulangi lagi kesilapan dahulu. Kakak
berjanji tak akan ingkar perintah Allah akan jadi umat yg soleh.
Kakak berjanji kalau kakak dihidupkan semula, kakak akan tampung segala
kekurangan dan kesilapan kakak dahulu, kakak akan mengaji, akan
sembahyang, akan puasa yang selama ini kakak tinggalkan.” Saya termenung
mendengar cerita wanita itu. Benarlah, Allah itu Maha Agung dan Maha
Berkuasa.. Kita manusia ini tak akan terlepas daripada balasannya. Kalau
baik amalan kita maka baiklah balasan yang akan kita terima, kalau
buruk amalan kita, maka azablah kita di akhirat kelak. Alhamdulillah,
wanita itu telah menyaksikan sendiri kebenaran Allah.
“Ini bukan mimpi Mazlan. Kalau mimpi azabnya takkan sampai pedih macam
tu sekali. Kakak bertaubat Mazlan, kakak tak akan ulangi lagi kesilapan
kakak dahulu. Kakak bertaubat… kakak taubat nasuha,” katanya sambil
menangis-nangis.
Sejak itu wanita berkenaan benar-benar berubah. Bila saya membawanya ke
Mekah, dia menjadi jemaah yang paling warak. Amal ibadahnya tak
henti-henti. Contohnya, kalau wanita itu pergi ke masjid pada waktu
maghrib, dia cuma akan balik ke biliknya semula selepas sembahyang
subuh.
“Kakak…yang kakak sembahyang teruk-teruk ni kenapa. Kakak kena jaga juga
kesihatan diri kakak. Lepas sembahyang Isyak tu kakak baliklah, makan
nasi ke, berehat ke…” tegur saya. “Tak apalah Mazlan. Kakak ada bawa
buah kurma. Bolehlah kakak makan semasa kakak lapar.” menurut wanita
itu, sepanjang berada di dalam Masjidil Haram, dia mengqadakan semula
sembahyang yang ditinggalkannya dahulu.
Selain itu dia berdoa, mohon kepada Allah supaya mengampunkan dosanya.
Saya kasihan melihatkan keadaan wanita itu, takut kerana ibadah dan
tekanan perasaan yang keterlaluan dia akan jatuh sakit pula. Jadi saya
menasihatkan supaya tidak beribadat keterlaluan hingga mengabaikan
kesihatannya. “Tak boleh Mazlan.. Kakak takut… kakak dah merasai
pedihnya azab tuhan. Mazlan tak rasa, Mazlan tak tau. Kalau Mazlan dah
merasai azab itu, Mazlan juga akan jadi macam kakak. Kakak betul- betul
bertaubat.”
Wanita itu juga berpesan kepada saya, katanya, “Mazlan, kalau ada
perempuan Islam yang tak pakai tudung, Mazlan ingatkanlah pada mereka,
pakailah tudung. Cukuplah kakak seorang saja yang merasai seksaan itu,
kakak tak mau wanita lain pula jadi macam kakak. Semasa di azab, kakak
tengok undang-undang yang Allah beri ialah setiap sehelai rambut wanita
Islam yang sengaja diperlihatkan kepada orang lelaki yang bukan
muhrimnya, maka dia diberikan satu dosa. Kalau 10 orang lelaki bukan
muhrim tengok sehelai rambut kakak ini, bermakna kakak mendapat 10
dosa.”
“Tapi Mazlan, rambut kakak ini banyak jumlahnya, beribu-ribu. Kalau
seorang tengok rambut kakak, ini bermakna beribu-ribu dosa yang kakak
dapat. Kalau 10 orang tengok, macam mana? Kalau 100 orang tengok? Itu
sehari, kalau hari-hari kita tak pakai tudung macam kakak ni??? Allah…”
“Kakak berazam, balik saja dari haji ini, kakak akan minta tolong dari
ustaz supaya ajar suami akak sembahyang, puasa, mengaji, buat ibadat.
Kakak nak ajak suami pergi haji. Seperti mana kakak, suami kakak tu
Islam pada nama saja. Tapi itu semua kesilapan kakak. Kakak sudah bawa
dia masuk Islam, tapi kakak tak bimbing dia. Bukan itu saja, kakak pula
yang jadi seperti orang bukan Islam.”
Sejak balik dari haji itu, saya tak dengar lagi apa-apa cerita tentang
wanita tersebut. Bagaimanapun, saya percaya dia sudah menjadi wanita
yang benar-benar solehah. Adakah dia berbohong kepada saya tentang
ceritanya di azab semasa koma? Tidak. Saya percaya dia bercakap benar.
Jika dia berbohong, kenapa dia berubah dan bertaubat nasuha?
Satu lagi, cubalah bandingkan azab yang diterimanya itu dengan azab yang
digambarkan oleh Allah dan Nabi dalam Al-Quran dan hadis. Adakah ia
bercanggah? Benar, apa yang berlaku itu memang kita tidak dapat
membuktikannya secara saintifik, tapi bukankah soal dosa dan pahala,
syurga dan neraka itu perkara ghaib? Janganlah bila kita sudah meninggal
dunia, bila kita sudah di azab barulah kita mahu percaya bahawa “Oh…
memang betul apa yang Allah dan Rasul katakan. Aku menyesal….” itu dah
terlambat..
No comments:
Post a Comment